Sebagai seorang umat Islam kita seharusnya sentiasa
mempercayai bahawa mati itu adalah sesuatu yang pasti. Ini adalah sebahagian
qada dan qadar Allah.Justeru seharusnya kita sentiasa mempersiapkan diri bagi menghadapi
kematian. Kerana sesungguhnya sampai saatnya kita akan dikembalikan semula
kepada pencipta kita yang satu. Memang benar bahawa tiada sesiapa yang berani
menghadapi kematian. Tiada yang berani menjawab soalan-soalan pertanyaan
Malaikat Munkar dan Nakir di alam Barzakh nanti. Namun kita bersedia atau
tidak, apabila tiba saatnya tiada yang dapat menghalang kematian walau kemana
pun kita berlari, kita berlindung. Dan Malaikat tidak akan terlambat atau awal
satu saat pun bagi mencabut nyawa manusia. Berikut adalah tanda-tanda kematian
seseorang :
Tanda-tanda kematian adalah benar dan wujud cuma amalan
dan ketakwaan seseorang yang akan dapat membezakan kepekaannya kepada
tanda-tanda ini.
Rasulullah SAW memperlihatkan dan menceritakan kepada
keluarga dan sahabat secara langsung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut
dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.
Diriwayatkan, Imam Ghazali RAmemperolehi tanda-tanda ini
sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut
secara sendirian. Beliau mempersiapkan dirinya termasuk mandi, wuduk serta
kafan sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah
memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas
tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian
mukanya.
Ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT
tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan untuk
menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia untuk menghadap
Allah SWT. Keistimewaannya semua tanda-tanda hanya untuk orang-orang Islam
sahaja manakala orang-orang kafir yang menyekutukan Allah, nyawa mereka akan
terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada
Allah SWT. Tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan;
Tanda 100 hari sebelum saat kematian
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya
dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Semua orang Islam akan
mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak.
Lazimnya tanda ini akan berlaku selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami
getaran atau seakan-akan mengigil. Ia seperti daging lembu yang baru
disembelih, jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut
seakan-akan bergetar.
Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan
berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan
berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka
yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa
memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang
munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini, ia adalah peluang terbaik
untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan
urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.
Tanda 40 hari sebelum saat kematian
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian
pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada saat ini daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut
akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita
antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.
Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan
wajahnya sepintas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan
merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma
seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah
nyawa yang akan dicabutnya.
Tanda 7 hari sebelum saat kematian
Tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji
dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba
ianya berselera untuk makan.
Tanda 3 hari sebelum saat kematian
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah
dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis
dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.
Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi
dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat
dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.
Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan
beransur-ansur masuk ke dalam.Telapak kakinya yang terlunjur akan
perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
Tanda 1 hari sebelum saat kematian
Akan berlaku juga sesudah waktu Asar di mana kita akan
merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana
ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan
harinya.
Tanda akhir saat kematian
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu
keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya
akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah
syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk
menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan
sekarang akan mematikan pula.
Penutup
Sesungguhnya marilah kita sama-sama bertaqwa dan berdoa
kepada Allah SWT semoga kita di antara mereka yang terpilih oleh Allah dan
diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda saat kematian ini. Semoga kita
berpeluang membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari
Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang
piutang kita.
Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang Maha
Berkuasa lagi Pemurah serta Maha Mengasihani, diriwayatkan bahawa tarikh
kematian seseorang masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari
kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ketentuan Allah SWT adalah
segala-galanya.
Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa
semoga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa
dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari
keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan
apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.
WALLAHUA`LAM – KURSUS PENYELENGGARAAN JENAZAH OLEH USTAZ
ABDULLAH MAHMUD – KOR AGAMA TENTERA DARAT DI SURAU ANSAR, LORONG KIRI 5,JALAN
DATUK KERAMAT, KUALA LUMPUR
Rujukan - http://www.esempoi.com/
Semoga kita semua akan beroleh ketenangan di akhirat,
dicabut nyawa dalam keadaan yang beriman dan sentiasa dilimpahi rahmat serta
kurnia Allah. Semoga kita sentiasa akan mendapat syafaat dari Allah di akhirat
kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.
Wallahualam....yang buruk datang dari saya dan yang baik
hanya dari Allah...
No comments:
Post a Comment